Standard Prestasi

Standard Prestasi merupakan satu pernyataan yang menerangkan tentang pencapaian atau penguasaan seseorang individu dalam sesuatu bidang yang telah dilalui dalam satu tempoh pembelajaran berdasarkan satu penanda aras (benchmark) yang telah dikenal pasti.

Standard Prestasi memandu pentaksir bagaimana aktiviti pentaksiran boleh dan dapat dilaksanakan secara adil dan berfokus merujuk kepada standard yang ditetapkan.

Standard Prestasi juga menjadi sumber rujukan oleh semua pihak yang terlibat dalam pendidikan secara langsung dan tidak langsung seperti murid, guru, ibu bapa serta pihak yang berkepentingan untuk menunjukkan dengan jelas matlamat yang ingin dicapai dalam sistem pendidikan.

Dengan menggunakan Standard Prestasi ;
  • Murid tahu dengan jelas apa yang perlu dikuasai atau dicapai, apa yang ditaksirdan kualiti yang diharapkan dalam sesuatu pentaksiran.
  • Guru tahu matlamat yang akan dicapai dalam pendidikan murid di sekolah, apayang ditaksir dan kualiti yang harus ada pada setiap murid.
  • Ibu bapa tahu apa yang telah dikuasai atau dicapai oleh anak-anak merekaselepas melalui proses pendidikan untuk satu tempoh tertentu.
  • Pihak yang berkepentingan tahu hasrat dan matlamat kurikulum dan sistem pendidikan negara dan kualiti yang ada pada murid yang keluar daripadasistem pendidikan tersebut.
Selain itu, Standard Prestasi juga boleh dijadikan kayu ukur standard pendidikan negara dan sebagai alat untuk membandingkan dengan standard pendidikan negara lain.

Pernyataan Standard diletakkan dalam kategori mengikut Band (Band 1, Band 2, Band 3, Band 4, Band 5 dan Band 6) yang disusun mengikut hierarki dan dijelaskan dengan deskriptor yang menyatakan tingkah laku terperinci yang boleh diperhati dan diukur dalam menentukan prestasi individu.

Berikut merupakan Kerangka Standard Prestasi: 

Di Band 1, murid tahu perkara asas, atau boleh melakukan kemahiran asas atau memberi respons terhadap perkara yang asas.

Di Band 2, murid menunjukkan kefahaman untuk menukar bentuk komunikasi atau menterjemah serta menjelaskan apa yang telah dipelajari.

Di Band 3, murid boleh menggunakan pengetahuan untuk melaksanakan sesuatu kemahiran pada suatu situasi.

Di Band 4, murid melaksanakan sesuatu kemahiran dengan beradab, seperti tertib atau melaksanakan sesuatu mengikut prosedur dan secara sistematik.

Di Band 5, murid melaksanakan sesuatu kemahiran dengan beradab pada situasi baru,dengan mengikut prosedur atau secara sistematik, serta tekal dan bersikap positif.

Dan akhir sekali, di Band 6, murid mampu menzahirkan idea yang kreatif dan inovatif, mempunyai keupayaan membuat keputusan untuk mengadaptasi permintaan serta cabaran dalam kehidupan seharian serta boleh berbicara untuk mendapatkan dan menyampaikan maklumat menggunakan ayat yang sesuai secara bertatasusila dan menjadi contoh secara tekal.


Pernyataan Standard bagi sesuatu mata pelajaran diguna pakai dari Tahun 1 hingga Tahun 6 kerana pernyataan ini digubal berdasarkan Objektif Mata Pelajaran berkenaan.

Deskriptor pula merujuk kepada perkara yang murid seharusnya tahu dan boleh buat berdasarkan standard pembelajaran yang diterakan dalam Standard Kurikulum bagi mata pelajaran berkenaan. Deskriptor setiap pernyataan standard adalah berbeza bagi setiap tahun pembelajaran.

Pernyataan evidens (murid) adalah pernyataan yang menerangkan bagaimana murid menunjukkan apa yang dia tahu dan boleh buat. Kualiti ini juga merujuk kepada aspek-aspek yang boleh dilaksana dan boleh ditadbir.

Evidens (bahan) merujuk kepada bahan atau apa-apa bentuk bukti yang dapat ditunjukkan oleh murid yang melaksanakan sesuatu tugasan. Evidens boleh dalam bentuk produk atau proses seperti gambar foto, grafik, artifak dan laporan. Guru harus kreatif dalam memilih tugasan dan boleh menggunakan pelbagai jenis instrumen pentaksiran untuk menguji penguasaan / pencapaian murid bagi sesuatu domain. Antara contoh instrumen yang sesuai digunakan ialah ujian bertulis, demonstrasi atau kuiz.

Sumber : Lembaga Peperiksaan Malaysia
Standard Prestasi Standard Prestasi Reviewed by SK Taman Putra Perdana 2 on 20:10 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.